SEMPORNA: DUA ANGGOTA KESELAMATAN
TERKORBAN DI SERANG HENDAP
KUALA LUMPUR, 3 Mac - Dua anggota pasukan
keselamatan terkorban dalam serang hendap di Kampung Seri Jaya Siminul,
Semporna, Sabah petang semalam, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza
Taib.
Beliau berkata dua anggota pasukan keselamatan
itu yang sedang membuat serbuan di perkampungan atas air itu telah ditembak oleh
sekumpulan orang yang tidak dikenali pada pukul 6.30 petang semalam.
Beliau bagaimanapun tidak memberi maklumat
terperinci mengenai identiti anggota keselamatan yang terbunuh itu semasa
ditemubual secara langsung melalui panggilan telefon dengan stesen televisyen
TV3 dalam program 'Malaysia Hari Ini' di sini pagi ini.
Hamza berkata pihaknya sedang menjalankan
siasatan sama ada kumpulan penyerang yang kurang daripada 10 orang itu mempunyai
kaitan dengan kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu yang mendakwa sebagai
tentera Kesultanan Sulu dari Filipina.
Menyentuh mengenai kumpulan penceroboh itu,
Hamza berkata mereka terhad di Kampung Tandou, Lahad Datu dan telah dikepung
oleh pasukan keselamatan negara.
Beliau juga menegaskan keselamatan di Lahad Datu
dan di Sabah, adalah terkawal dan menasihati penduduk di negeri itu supaya tidak
mendengar khabar angin dan mereka boleh menghubungi ketua polis daerah di negeri
ini untuk mendapatkan pengesahan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment